Saturday, August 23, 2008

PROGRAM LAWATAN KERJA KE PANTAI TIMUR : PROJEK GAHARU




Dibawah adalah maklumat tentang pokok karas daripada MINT (Nuklear Malaysia )


Shyful Azizi Abdul Rahman – BAB

Gaharu adalah sejenis bahan bernilai tinggi yang mengeluarkan wangian tersendiri dan diperolehi daripada pokok karas yang mengalami masalah atau stress samada akibat jangkitan penyakit, kerosakan fizikal atau kekurangan sumber untuk pertumbuhan yang normal. Gaharu ini didapati pada bahagian dalam batang pokok karas iaitu berupa resin. Kayu-kayu gaharu ini mengandungi kandungan resin dalam pelbagai kuantiti dan kualiti dan dikelaskan kepada beberapa gred tertentu oleh pengusaha dan pencari gaharu. Penggunaan gaharu adalah sangat luas dan meliputi pelbagai aspek daripada penggunaannya sebagai bahan wangian, perubatan sehinggalah kepada upacara keagamaan. Sifat minyak gaharu yang mampu mengekalkan wangiannya dalam jangkamasa yang lama juga merupakan kelebihan yang menjadikan pengusaha wangian menggunakannya sebagai minyak asas dalam campuran minyak wangi Menyedari tentang potensi gaharu sebagai satu sumber ekonomi baru di Malaysia terutamanya kepada penduduk luar bandar, Nuklear Malaysia sebagai sebuah pusat penyelidikan telah mengambil langkah-langkah proaktif menjalankan penyelidikan berteraskan teknologi nuklear ke atas bahan ini.

Penyelidikan gaharu di Nuklear Malaysia meliputi aspek perladangan, aruhan penghasilan gaharu, pengekstrakkan, penghasilan benih karas dan kaedah pengenalpastian gaharu serta penggredan. Projek penyelidikan gaharu di Nuklear Malaysia secara intensif telah berjalan selama dua tahun dan bagi memperkemaskan lagi aktiviti-aktiviti penyelidikan, kerjasama diantara Nuklear Malaysia dengan pengusaha-pengusaha gaharu, peladang-peladang dan badan pengurusan dan penguatkuasa sedang giat dijalankan.

Selaras dengan hasrat ini, satu lawatan kerja dan sesi perbincangan telah diadakan dari 6 hingga 9 Februari 2007 diantara pihak pengurusan Nuklear Malaysia seramai 10 orang yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Program Pembangunan Teknologi) dan pihak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah JPSM. Objektif lawatan kerja ini adalah bagi memperkemaskan bentuk kerjasama yang bakal dijalinkan diantara kedua-dua pihak dalam menjalankan penyelidikan gaharu dan bentuk kerjasama yang bakal diwujudkan ini adalah menjurus kepada hasrat bagi menjadikan Nuklear Malaysia sebagai pusat rujukan gaharu diperingkat kebangsaan.

Pada hari pertama lawatan, satu perjumpaan bersama Menteri Besar Terengganu iaitu Y.A.B. Datuk Idris Jusoh juga telah diaturkan yang dihadiri oleh Dr Nahrul Khair Alang Mat Rashid, Dr Norimah Yusof, En. Samsurdin Ahamad, En Mohamad Ali dan Dr Wan Manshol. Perjumpaan ini adalah satu perjumpaan yang tidak formal bagi menerangkan kepada Menteri Besar berkenaan aktiviti-aktiviti penyelidikan Nuklear yang sedang dijalankan di negeri Terengganu. Program lawatan telah disusun atur oleh pihak JPSM bermula pada 6 Februari 2007 dimana delegasi dibawa melawat sebuah ladang karas di Merchang, Terengganu yang seluas 33 ekar.
Pada hari kedua dan ketiga lawatan, delegasi dibawa melawat hutan simpan Machang, Kelantan di mana pihak JPSM telah mendemonstrasi satu kaedah teknologi aruhan pokok karas yang diperolehi daripada Vietnam, melawat kilang pengekstakkan minyak gaharu di Kuala Balah dan Gua Musang Kelantan serta melawat tapak ujian penanaman integrasi karas-tongkat ali di Pahi, Kelantan.

Semasa di Pahi, setiap delegasi Nuklear Malaysia telah diberi penghormatan untuk menanam anak benih karas sebagai simbolik kepada kerjasama yang bakal dijalinkan antara Nuklear Malaysia dan JPSM di dalam projek penyelidikan gaharu ini. Pada hari terakhir lawatan iaitu pada 9 Februari 2007, delegasi telah melawat sebuah ladang karas di Kuala Lipis milik seorang pengusaha gaharu. Di ladang ini juga pihak pengurusan Nuklear Malaysia diberi taklimat oleh para penyelidik tentang plot percubaan bagi kajian teknologi aruhan yang dibangunkan. Program lawatan kerja selama empat hari ini walaupun sangat memenatkan tetapi seluruh ahli sangat berpuas hati kerana telah mencapai tujuan utamanya iaitu memperkemaskan bentuk kerjasama antara Nuklear Malaysia dan JPSM serta memberi gambaran yang lebih jelas kepada pihak pengurusan tentang status penyelidikan yang sedang dijalankan.


CATATAN PENTING
Artikel di bawah juga adalah dipetik dari Nuklear Malaysia. Gambar-gambar yang disertakan adalah bukan daripada sumber Nuklear Malaysia- jahaniwalit.com

No comments: